Related Posts with Thumbnails
Buy Tupperware

Tuesday, November 24

Bahaya Cemburu Membuta Tuli...

PETALING JAYA : Akibat cemburu buta dan membuat tuduhan melulu kononnya suami mempunyai kekasih gelap, seorang wanita dibelasah pasangan hidupnya itu sebelum dikurung dalam bilik di sebuah pangsapuri di Damansara Damai di sini, pagi semalam. Difahamkan, kejadian hanya disedari selepas wanita terbabit yang juga seorang guru berusia 30-an di sebuah sekolah di Kuantan, Pahang, menghubungi polis meminta bantuan supaya dia diselamatkan segera.




Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam apabila polis menerima panggilan kecemasan daripada mangsa yang meminta diselamatkan daripada dikurung dalam bilik oleh suaminya. Polis yang menyangka ia kes penderaan bergegas ke pangsapuri berkenaan untuk menyelamatkan wanita itu.




Bagaimanapun, sebaik tiba di pangsapuri berkenaan, suami wanita terbabit enggan bekerjasama walaupun anggota polis berulang kali mengetuk pintu rumah dan memintanya membuka pintu. Susulan itu, polis terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan selepas berusaha lebih 15 minit untuk memujuk lelaki terbabit. “Sebaik pintu dibuka, polis membebaskan wanita terbabit yang dikurung dalam sebuah bilik di rumah itu dalam keadaan selamat tanpa kecederaan serius.




“Namun, agak mengejutkan apabila wanita terbabit berubah fikiran dan meminta anggota polis beredar dan tidak masuk campur masalah rumah tangga mereka,” katanya. Malah, wanita terbabit merayu polis supaya tidak mengambil tindakan termasuk menangkap suaminya yang didakwa hanya melakukan kesilapan kecil susulan salah faham. “Siasatan mendapati wanita terbabit mengaku dipukul suaminya, namun menganggap ia lumrah hidup berumah tangga dan perkara berkenaan dapat diselesaikan sendiri.




“Siasatan juga mendapati, wanita terbabit yang berasal dari Kuantan sebelum ini menaiki bas ekspres untuk ke ibu kota, semalam (kelmarin),” katanya. Menurutnya, wanita berkenaan sebelum ini mengesyaki suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain menyebabkan dia datang ke pangsapuri suaminya itu untuk membuat pemeriksaan mengejut. “Namun, tindakan wanita terbabit menyebabkan suaminya ‘naik angin’ kerana tuduhan itu tidak berasas apabila tiada wanita lain ditemui di rumah mereka.




“Susulan itu berlaku pergaduhan menyebabkan mangsa dipukul sebelum dikurung suaminya dalam bilik,” katanya. Suami mangsa yang disoal siasat mendakwa isterinya terlalu sensitif dan cemburu tidak bertempat menyebabkan mereka sering bertengkar. Polis hanya mengambil keterangan pasangan terbabit sebelum membebaskan mereka.





Sumber : www.hmetro.com.my

0 Sharing is Sexy:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP