Related Posts with Thumbnails

Tuesday, November 24

Cara Menangani Anak HiperAktif


KANAK-KANAK lasak yang sukar duduk diam dan tidak mengikut arahan ibu bapa sering dilabelkan sebagai nakal. Mungkin ibu bapa akan pening kepala memikir bagaimana caranya menangani anak-anak yang terlalu aktif ini. Kebanyakan ibu bapa menganggap masalah ini akan beransur hilang seiring peningkatan usia mereka tanpa melakukan apa-apa.


Di sebalik kenakalan itu, kemungkinan besar tersembunyi masalah yang perlu dirujuk kepada pakar perubatan. Mereka mungkin berada dalam kelompok kanak-kanak hiperaktif atau mengalami gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan (ADHD). Ia merupakan satu masalah tidak normal pada bahagian otak yang membuatkan kanak-kanak itu bersikap aktif sejak lahir, berkelakuan mengikut gerak hati, perhatian mudah berubah serta sukar mengasingkan maklumat.


Mengenali kanak-kanak hiperaktif dan memahami langkah menghadapi kesukaran sepanjang mengurus mereka akan membantu ibu bapa menyelesaikan masalah dengan baik. Menurut Perunding Psikiatrik Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Subash Kumar Pillai, ADHD sukar dikesan dan ia tidak mudah didiagnosis disebabkan tiada simptom boleh dilihat seperti penyakit-penyakit lain namun tahap kenakalan kanak-kanak berkenaan berbeza dengan rakan seusia. Katanya, kebanyakan anak kecil yang mengalami masalah ini hanya dirujuk kepada pakar selepas usia enam hingga sembilan tahun.


"Bukan mudah untuk diagnosis tanda masalah kerana dari mata kasar, kanak-kanak ADHD sama seperti rakan-rakan seusia yang lain. Pada usia itu mereka mula lasak dan nakal disebabkan rasa ingin tahu sesuatu yang baru.


"Perbezaan antara ADHD dengan nakal ialah tahap tingkah laku. Kanak-kanak nakal akan mendengar cakap tetapi bukan anak kecil yang mengalami ADHD. Mereka tidak mahu mendengar arahan atau belajar daripada kesilapan. Dia akan terus melakukan kesilapan berulang kali. "Jika anda meletakkan 10 budak nakal dan 10 kanak-kanak ADHD dalam satu kumpulan, anda masih tidak nampak kelainan. Cuma nakal biasa, mereka masih tidak boleh dikawal manakala ADHD amat susah dikendalikan sehinggakan kita menyangka mereka menghadapi masalah tingkah laku,'' ujarnya melalui laman web www.jomlayan.com.


Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996 mendapati 333,000 kanak-kanak atau 4.3 peratus mengalami masalah ADHD. Jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60 peratus daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa bermasalah sehingga mendorong melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seseorang bapa boleh mewariskan sindrom ini kepada anak lelaki mereka. Keadaan ini juga menjadikan kanak-kanak lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding budak perempuan.


Katanya, masalah ini boleh dipanggil penyakit yang tidak nampak kerana secara realiti, mereka sihat malah kebanyakan mempunyai tahap setara individu biasa dan lebih menakjubkan sebilangan besar mempunyai kebolehan serta bakat seni luar biasa. ''Kanak-kanak ini sebenarnya tidak sakit. Mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Penyakit ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.


''Hakikatnya semua bayi dilahirkan ke dunia ini mempunyai kebolehan untuk belajar, tetapi terpulang kepada ibubapa untuk mencorakkannya. Kurang pengetahuan atau tidak tahu masalah anak menyebabkan sesetengah kanak-kanak ini terbiar tanpa sebarang rawatan,'' katanya. Katanya, ADHD perlu dirawat segera sebaik disedari kerana ia menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri, kurang yakin dan lemah pencapaian akademik. "Dalam situasi ini, ibu bapa seharusnya tidak kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini, bawalah mereka bertemu pakar supaya tingkahlaku ini tidak terbawa-bawa ke alam dewasa. mereka masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain,'' katanya.


Di bawah ini, disenaraikan beberapa tip yang boleh digunapakai oleh ibu bapa sebagai panduan. Ia turut diperjelaskan menerusi laman web www.sabda.org.


  • Jangan menghukum kanak-kanak hiperaktif dengan memukul mereka. Ini kerana, kanak-kanak hiperaktif telah dilahirkan sedemikian dan mereka akan melalui fasa perubahan seperti kanak-kanak normal.
  • Jangan sesekali melabel anak hiperaktif sebagai anak yang nakal, malas atau bodoh kerana akhirnya mereka akan bersikap seperti apa yang anda *abelkan.
  • Dalam melatih atau mengajar kanak-kanak hiperaktif, jangan sesekali merasa bosan. Ini kerana, lama kelamaan kanak-kanak ini akan dapat menguasai apa yang anda ajarkan.
  • Jika kanak-kanak hiperaktif bertindak mencederakan diri dan orang lain, segera bertindak dengan menasihati atau memarahi mereka. Jika perkara tersebut berulang, minta pandangan doktor atau pakar terapi mengenai cara menanganinya.
  • Perbanyakkan berkomunikasi dengan kanak-kanak hiperaktif. Ini kerana, komunikasi yang bagus bakal menjadikan kanak-kanak tersebut lebih kreatif dan idealisme.
  • Sentiasa fokus dan berwaspada dengan segala tindakan kanak-kanak hiperaktif yang mungkin boleh mencederakan diri atau orang lain.
  • Ajar disiplin pada kanak-kanak hiperaktif agar pada masa hadapan, mereka dapat mengaturkan hidup dengan baik.


Sumber : Oleh ZUHAYATI YAZID

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP